Seperti yang pernah dinyatakan dalam penulisan sebelum ini, kecederaan ligamen
adalah antara faktor utama yang menyebabkan sakit lutut.
Pernah tengok ligamen? Jika belum, sila lihat contoh dalam gambar model
struktur lutut yang disertakan, Ligamen ialah sekumpulan tisu berfiber yang lembut,
kenyal dan kuat. Bahan asas ligamen dibina oleh kumpulan rantaian kolagen. Ia
berfungsi menghubungkan tulang dan menstabilkan pergerakan sendi tersebut.
Terdapat empat jenis ligament pada bahagian lutut yang mudah tercedera:
1. Anterior Cruciate
Ligament (ACL) menghubungkan tulang paha (femur) ke tulang betis (tibia). ACL adalah ligamen yang paling kerap
tercedera.
2. Posterior Cruciate
Ligament (PCL) juga menghubungkan tulang paha ke tulang betis. PCL jarang mengalami kecederaan kecuali di
dalam kes-kes kemalangan kereta.
3. Lateral Collateral
Ligament (LCL) menghubungkan tulang paha ke tulang betis yang lebih kecil (fibula)
terletak di bahagian tepi luar lutut.
4. Medial Collateral
Ligament (MCL) menghubungkan tulang paha ke tulang betis di bahagian tepi dalam
lutut
Bagaimana ligamen boleh tercedera?
Antara penyebab utama kecederaan ligamen adalah perubahan arah
pergerakan dengan pantas seperti pergerakan semasa bermain bola atau futsal,
mendarat dengan cara yang salah selepas melompat serta hentakan alatan tumpul
secara langsung pada lutut seperti kena ‘tackle’ dalam permainan rugby.
Otot kaki yang yang tidak kuat serta atur pergerakan kaki yang tidak
betul turut meningkatkan kebarangkalian berlaku kecederaan pada ligamen
lutut.
Bagaimana rasanya sakit lutut akibat kecederaan ligamen?
Anda mungkin akan merasai perkara-perkara di bawah ini.
1. Kesakitan di
bahagian lutut, biasanya secara tiba-tiba dan amat kuat
2. Kedengaran bunyi
“Pop” atau seakan rentapan yang kuat
3. Bengkak di dalam 24
jam selepas mengalami kecederaan tersebut
4. Terasa lutut
longgar
5. Tidak boleh berdiri
atau meletakkan sebarang bebanan ke atas lutut tanpa merasa sakit,
Kecederaan pada ligamen dikategorikan pada beberapa peringkat:
Tahap 1 – ligamen mengalami regangan atau tertarik lebih dari
sepatutnya. Tiada luka atau koyakkan pada ligamen.
Tahap 2 – sebahagian dari rantaian ligamen terkoyak. Bengkak dan lebam mungkin berlaku. Rasa sakit
yang lebih kuat. Sukar melakukan pergerakan pada lutut.
Tahap 3 – ligamen terputus terus.
Pendarahan dalam mungkin berlaku. Lutut jadi tidak stabil dan tidak
dapat menampung berat. Kebiasaannya
tiada kesakitan dirasai kerana saraf yang merasa sakit turut terkoyak atau
putus terus.
Untuk lebih mudah difahami, cuba bayangkan tali getah yang biasa
digunakan untuk mengikat barang di motorsikal atau basikal atau nama lainnya
‘bungee cord’. Ia diperbuat oleh beberapa jalur getah yang disusun memanjang dan
hujungnya dicantumkan.
"Bungee Cord" |
Helaian jalur getah halus yang membentuk bungee cord. |
Kecederaan Tahap 1 – tali getah tersebut ditarik terlebih dari yang
sepatutnya mengakibatkan kurang keanjalannya.
Kecederaan Tahap 2 – beberapa helai jalur getah di dalam tali tersebut
putus. Masih boleh digunakan tetapi tali getah tersebut sudah tidak kuat.
Kecederaan Tahap 3 – semua jalur getah di dalam tali tersebut telah
putus dan tali getah tersebut tidak dapat digunakan lagi.
OK, dah boleh nampak kan?
Mujurlah ligamen tidak dibuat dari tali getah. Ia masih boleh pulih jika menerima rawatan
yang betul.
Bagi kecederaan Tahap 1 dan 2, rehat, penggunaan ais serta ubat
anti-keradangan biasanya memadai. Penggunaan
alat sokongan lutut (brace) dan taping (pita perekat) sesuai digunakan bagi
mengelakkan regangan berlebihan pada ligament semasa tempoh pemulihan.
Fisioterapi boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan dengan
menguatkan otot serta membetulkan arah jaringan fiber ligamen tumbuh
semula. Biasanya dengan rawatan yang
betul, kekuatan asal akan diperoleh selepas 6 minggu iaitu setelah fiber
kolagen yang membentuk ligamen tersebut matang.
Penggunaan "brace" pada lutut yang sedang menjalani fisioterapi. |
Manakala untuk kecederaan pada Tahap 3, menjadi satu keperluan untuk
menggunakan alat sokongan yang dapat menampung berat supaya ligamen tersebut
bebas dari menampung berat dan mendapat ruang untuk mengalami pemulihan. Fisioterapi perlu dilakukan bagi menggalakkan
pemulihan yang betul.
Bergantung pada keperluan, biasanya yang melibatkan ACL dan PCL putus
terus, pembedahan pembentukan semula ligamen boleh dilakukan. Tempoh pemulihan
biasanya mengambil masa 3-4 bulan sebelum aktiviti biasa dapat dilakukan
semula.
Harus diingat, fisioterapi adalah amat penting dalam proses pemulihan
ligamen kerana ia dapat menggalakkan pertumbuhan tisu fiber yang membentuk
ligamen dengan cara betul. Jika dibiarkan sahaja, proses tersebut boleh
mengambil masa bertahun-tahun atau pemulihan yang tidak betul boleh berlaku,
dan akan menyukarkan pergerakan atau mendatangkan rasa sakit di masa hadapan.
Jik anda mengalami masalah sakit lutut seperti yang diterangkan di atas,
jangan berlengah untuk mendapatkan pandangan doktor atau pakar. Kenal pasti
punca dari awal, ia dapat mengelakkan kecederaan yang lebih teruk serta kos
rawatan yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment