Saturday 2 September 2017

BOLEHKAH SAKIT LUTUT PULIH SEPENUHNYA? Bahagian 3 - Arthritis



Kali ini kita sambung pula perbincangan mengenai Arthritis yang menjadi antara punca utama sakit lutut.

Arthritis pada lutut secara amnya terbahagi kepada 3:

1. Ostheoarthritis (OA) – suatu keadaan yang menyebabkan tulang rawan haus sedikit demi sedikit.  Biasanya mula terjadi pada individu yang telah mula berusia.

2. Rheumathoid Arthritis (RA) – keradangan pada sendi yang boleh terjadi tidak kira usia.

3. Arthritis selepas trauma (Post-traumatic Arthritis) – kebiasaanya berlaku selepas terdapat kecederaan pada lutut yang melibatkan tulang rawan, ligamen atau keretakan tulang.  Boleh terjadi walaupun kecederaan tersebut telah berlaku bertahun-tahun sebelumnya.


Antara tanda-tanda yang seseorang itu mengalami arthritis pada lutut adalah:

Sendi lutut bengkak atau rasa keras.  Lutut sukar untuk dibengkokkan seperti biasa.

Sakit semakin terasa dan bengkak pada lutut lebih ketara setelah lama tidak bergerak seperti selepas duduk, berehat atau tidur.

Aktiviti lasak akan menyebabkan kesakitan bertambah

Serpihan tulang rawan atau tisu lain di bahagian lutut mungkin mengganggu pergerakan lutut. Lutut boleh jadi seakan terkunci atau melekat semasa bergerak. Pergerakan lutut boleh menimbulkan bunyi berkeriut, klik, meletup atau bunyi geseran.

Rasa sakit tersebut menyebabkan lutut terasa lemah atau lutut terpeleot atau orang kita selalu sebut lutut lari.

Cuaca sejuk menyebabkan rasa sakit bertambah.


Untuk mengenal pasti sama ada sesorang menhidap arthtitis, doktor akan melakukan beberapa ujian termasuk x-ray, imbasan CT, imbasan tulang.  Hasil imbasan membolehkan doktor melihat keadaan tulang dalam lutut, bagi memastikan tahap arthritis yang dihadapi.

Ujian makmal juga biasanya akan dilakukan. Ujian darah dapat membantu doktor untuk mengenal pasti jenis arthritis yang dihadapi.

Terdapat pelbagai rawatan untuk mengurangkan kesakitan akibat arthritis. Kebanyakannya tidak melibatkan pembedahan. Namun untuk kes-kes yang tertentu, pembedahan mungkin diperlukan bagi mengelakkan sakit atau kesukaran bergerak yang lebih teruk.

Antara rawatan yang tidak melibatkan pembedahan adalah:

1. Perubahan gaya hidup dan aktiviti harian boleh membantu memperlahankan perkembangan arthritis.

-       Mengurangkan aktiviti memerlukan pergerakan lutut yang banyak seperti menaiki tangga

-       Menggantikan aktiviti berimpak tinggi seperti berlari atau bermain bola kepada yang berimpak rendah berenang atau berbasikal

-       Mengurangkan berat badan juga dapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh lutut.

2. Terapi fizikal atau fisioterapi – latihan pergerakan khusus untuk lutut dapat membantu meningkatkan keupayaan dan fleksibiliti pergerakan lutut.  Berbincanglah dengan doktor atau pakar fisioterapi untuk mendapatkan program latihan yang bersesuaian dengan keadaan masing-masing.

Alat bantuan sokongan "brace" pada lutut yang sedang menjalani rawatan fisioterapi.


3. Alat bantuan sokongan – penggunan peralatan sokongan seperti tongkat, kasut yang berupaya menyerap hentakan serta pendakap lutut dapat membantu mengurangkan tekanan yang dikenakan pada lutut.

4. Minyak, gel, krim serta rawatan panas atau sejuk – biasanya rawatan ini bersifat sementara untuk melegakan kesakitan atau lenguh yang dirasai pada lutut.

5. Ubat – terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat atau mengawal perkembangan arthritis.  Jenis ubat yang sesuai bergantung kepada keadaan seseorang. Dapatkan nasihat dari doktor atau pakar berkaitan sebelum memulakan pengambilan ubat-ubatan.

Rawatan yang melibatkan pembedahan juga ada pelbagai peringkat. Antaranya ialah

Arthroscopy


1. Arthroscopy – proses di mana potongan kecil dibuat untuk memasukkan alatan halus yang panjang ke bahagian dalam lutut.  Alat tersebut boleh digunakan untuk melihat bahagian dalam lutut serta melakukan prosedur ringkas.

2. Graf tulang rawan – tisu rawan yang sihat dari lutut kaki sebelah atau bahagian lain boleh digunakan untuk mengisi ruang rawan yang rosak



3. Arthroplasty - menggantikan bahagian rawan atau tulang yang rosak dengan gantian yang diperbuat dari logam atau plastic bagi membolehkan pergerakan lutut berlaku dengan baik tanpa kesakitan.
  

Setiap jenis pembedahan akan mengambil masa untuk sembuh dan perlu disertakan dengan fisioterapi bagi mengembalikan fleksibiliti dan kekuatan lutut.


Berbincanglah dengan doktor dan pakar untuk mengenalpasti masalah serta rawatan sakit lutut yang bersesuaian untuk anda.

No comments:

Post a Comment