Tuesday 29 August 2017

BOLEHKAH SAKIT LUTUT PULIH SEPENUHNYA? Bahagian 1- Kecederaan pada Tulang Rawan (Cartilage)



Sakit lutut boleh disebabkan oleh beberapa faktor.  Antara penyebab utamanya ialah kerosakan dan kecederaan pada tulang rawan (cartilage), kecederaan pada ligament, dan arthritis.

Hari ini kita akan bercerita mengenai kerosakan pada tulang rawan (cartilage), yang biasa disebut oleh orang kita sebagai gel atau air lutut. Terdapat 2 jenis rawan di lutut manusia iaitu Articular Cartilage dan Meniscal Cartilage (meniscus). 

Anatomi lutut menunjukkan jenis rawan pada sendi lutut


Buat permulaan, kita fahamkan dulu fungsi tulang rawang ni.  Pernah tengok peha ayam goreng kan? Di hujung tulang akan ada rawan berwarna putih yang rapuh.  Fungsinya adalah sebagai alas bagi melincirkan pergerakan di antara tulang paha dan tulang betis. Selain itu ia juga berfungsi sebagai penyalur bebanan dari paha ke betis.

Rawan boleh tercedera atas beberapa sebab:

1. Lutut menerima bebanan atau hentakan yang kuat seperti terjatuh atau kemalangan.  Pergerakan yang kasar seperti semasa bersukan juga antara punca kecederaan pada rawan lutut ini.

2.Haus.  Ini adalah antara kesan pergerakan dan dan stress pada rawan untuk jangka masa panjang.  Berat badan yang berlebihan memberi stress yang berterusan pada rawan. Penyakit arthritis juga antara punca rawan rosak.

3. Kurang pergerakan.  Untuk rawan kekal sihat, ia perlu selalu bergerak.  Kurangnya pergerakan untuk jangka masa yang lama menyebabkan kualiti rawan merosot.

Apabila rawan ini mengalami kecederaan atau kerosakan, atau lebih teruk lagi telah haus, tulang paha dan tulang betis akan berlaga semasa pergerakan kaki yang melibatkan lutut. Penyaluran bebanan juga tidak dapat berlaku dengan baik.  Ini menyebabkan rasa sakit yang kuat pada bahagian lutut.

Persoalannya, bolehkah rawan pulih?

Secara amnya, ya dan tidak. Bahagian rawan yang menerima darah masih boleh dipulihkan.  Manakala bahagian rawan yang tidak menerima darah tidak dapat dipulihkan, Namun pelbagai kajian masih dilakukan untuk mencari kaedah untuk merawat dan membina semula rawan yang rosak. 

Apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan sakit lutut akibat kerosakan rawan?

Bergantung pada tahap kecederaan dan kerosakan tersebut, doktor akan mencadangkan dari berehat, fisioterapi hingga ke pembedahan, bergantung kepada tahap kecederaan atau kerosakan yang dialami..

Untuk kecederaan ringan atau keradangan, biasanya individu akan dinasihat untuk merehatkan pergerakan kaki terutamanya bahagian lutut serta mengurangkan bebanan pada lutut, sehingga keradangan itu surut.

Fisioterapi pula biasanya akan menggariskan pergerakan yang perlu dibuat untuk memudahkan pergerakan lutut serta senaman untuk menguatkan otot pada bahagian paha dan betis.  Ini kerana selain dari rawan, otot juga bertindak menyokong lutut dalam menyerap bebanan pada bahagian kaki.  Otot yang kuat pada paha dan betis akan membantu mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh rawan yang telah cedera atau haus.

Fisioterapi lutut


Untuk kes yang lebih teruk, pembedahan bagi menggantikan rawan tersebut mungkin akan dicadangkan oleh doktor.

Pembedahan gantian tulang rawan lutut



Yang penting, jika ada terasa sakit pada lutut, dapatkan pandangan dari doktor serta pakar bertauliah secepat mungkin.  Bila punca kesakitan telah dikenalpasti, baru rawatan yang bersesuaian dapat diberikan.

3 PUNCA UTAMA KEPADA SAKIT LUTUT YANG MELAMPAU



Lutut adalah sendi yang bekerja hampir sepanjang masa sewaktu kita bergerak.  Tidak hairan jika ramai yang sering mengalami sakit lutut. Pada kebiasaan, ia dikaitkan dengan usia yang meningkat. Namun sakit lutut sebenarnya boleh juga menyerang sesiapa sahaja tidak kira usia.   Berikut adalah penyebab yang selalu dikaitkan sebagai punca utama kepada sakit lutut.




Tulang rawan adalah lapisan lembut tetapi tahan lasak yang meliputi hujung tulang. Kalau biasa tengok tulang paha ayam, bahagian berwarna putih pada hujung tulang itulah tulang rawan. Ia bertindak sebagai pelincir pergerakkan tulang paha dan betis. Tanpa tulang rawan, kedua-dua hujung tulang tersebut akan bergeser pada permukaan yang kasar dan kesat yang menyebabkan rasa sakit.




Ligamen adalah penyambung diantara tulang paha dan juga tulang betis. Kesakitan yang dialami biasanya berpunca dari kecederaan pada ligamen akibat aktiviti sukan. Kecederaan pada ligamen menyebabkan rasa sakit yang kuat pada lutut sehingga ada yang memerlukan pembedahan untuk merawatnya.




Arthritis lutut adalah antara sebab yang paling banyak dalam menyebabkan sakit lutut melampau. Malangnya, arthritis adalah sejenis penyakit degeneratif kronik yang lama kelamaan akan semakin merosakkan lutut, dan mungkin memerlukan pembedahan. Terdapat pelbagai jenis arthritis. Antara tanda arthritis lutut adalah terasa tegang, bengkak dan kesukaran untuk membengkokkan lutut.

Selain dari pembedahan, berikut adalah rawatan yang biasa dilakukan untuk menangani masalah sakit kaki melampau ini:

1. Penurunan berat badan. Dengan mengurangkan berat badan, bebanan ke atas lutut untuk menampung berat badan dapat dikurangkan.

2. Senaman menguatkan otot, ligamen dan tendon di sekeliling lutut. Bebanan pada kepala lutut akan berkurangan kerana otot, tendon serta ligamen yang kuat dapat menyokong lutut dengan lebih baik untuk menanggung beban.

3. Balutan. Apabila lutut dibalut dengan kain bandage atau kain lain yang sesuai, pergerakan di bahagaian lutut berkurangan lantas mengurangkan geseran di antara tulang yang menyebabkan kesakitan melampau. Selain itu, balutan juga menghalang berlaku bengkak.

4. Pill tahan sakit dan pil anti keradangan.
Walau bagaimanapun, jika anda merasa sakit yang melampau pada bahagian lutut dan ingin mendapatkan rawatan dan kelegaan, segera berjumpa doktor untuk memastikan puncanya.



Dengan diagnosis yang betul, rawatan yang bersesuaian dapat diberikan untuk menangani masalah sakit lutut melampau.