Saturday 2 September 2017

BOLEHKAH SAKIT LUTUT PULIH SEPENUHNYA? Bahagian 3 - Arthritis



Kali ini kita sambung pula perbincangan mengenai Arthritis yang menjadi antara punca utama sakit lutut.

Arthritis pada lutut secara amnya terbahagi kepada 3:

1. Ostheoarthritis (OA) – suatu keadaan yang menyebabkan tulang rawan haus sedikit demi sedikit.  Biasanya mula terjadi pada individu yang telah mula berusia.

2. Rheumathoid Arthritis (RA) – keradangan pada sendi yang boleh terjadi tidak kira usia.

3. Arthritis selepas trauma (Post-traumatic Arthritis) – kebiasaanya berlaku selepas terdapat kecederaan pada lutut yang melibatkan tulang rawan, ligamen atau keretakan tulang.  Boleh terjadi walaupun kecederaan tersebut telah berlaku bertahun-tahun sebelumnya.


Antara tanda-tanda yang seseorang itu mengalami arthritis pada lutut adalah:

Sendi lutut bengkak atau rasa keras.  Lutut sukar untuk dibengkokkan seperti biasa.

Sakit semakin terasa dan bengkak pada lutut lebih ketara setelah lama tidak bergerak seperti selepas duduk, berehat atau tidur.

Aktiviti lasak akan menyebabkan kesakitan bertambah

Serpihan tulang rawan atau tisu lain di bahagian lutut mungkin mengganggu pergerakan lutut. Lutut boleh jadi seakan terkunci atau melekat semasa bergerak. Pergerakan lutut boleh menimbulkan bunyi berkeriut, klik, meletup atau bunyi geseran.

Rasa sakit tersebut menyebabkan lutut terasa lemah atau lutut terpeleot atau orang kita selalu sebut lutut lari.

Cuaca sejuk menyebabkan rasa sakit bertambah.


Untuk mengenal pasti sama ada sesorang menhidap arthtitis, doktor akan melakukan beberapa ujian termasuk x-ray, imbasan CT, imbasan tulang.  Hasil imbasan membolehkan doktor melihat keadaan tulang dalam lutut, bagi memastikan tahap arthritis yang dihadapi.

Ujian makmal juga biasanya akan dilakukan. Ujian darah dapat membantu doktor untuk mengenal pasti jenis arthritis yang dihadapi.

Terdapat pelbagai rawatan untuk mengurangkan kesakitan akibat arthritis. Kebanyakannya tidak melibatkan pembedahan. Namun untuk kes-kes yang tertentu, pembedahan mungkin diperlukan bagi mengelakkan sakit atau kesukaran bergerak yang lebih teruk.

Antara rawatan yang tidak melibatkan pembedahan adalah:

1. Perubahan gaya hidup dan aktiviti harian boleh membantu memperlahankan perkembangan arthritis.

-       Mengurangkan aktiviti memerlukan pergerakan lutut yang banyak seperti menaiki tangga

-       Menggantikan aktiviti berimpak tinggi seperti berlari atau bermain bola kepada yang berimpak rendah berenang atau berbasikal

-       Mengurangkan berat badan juga dapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh lutut.

2. Terapi fizikal atau fisioterapi – latihan pergerakan khusus untuk lutut dapat membantu meningkatkan keupayaan dan fleksibiliti pergerakan lutut.  Berbincanglah dengan doktor atau pakar fisioterapi untuk mendapatkan program latihan yang bersesuaian dengan keadaan masing-masing.

Alat bantuan sokongan "brace" pada lutut yang sedang menjalani rawatan fisioterapi.


3. Alat bantuan sokongan – penggunan peralatan sokongan seperti tongkat, kasut yang berupaya menyerap hentakan serta pendakap lutut dapat membantu mengurangkan tekanan yang dikenakan pada lutut.

4. Minyak, gel, krim serta rawatan panas atau sejuk – biasanya rawatan ini bersifat sementara untuk melegakan kesakitan atau lenguh yang dirasai pada lutut.

5. Ubat – terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat atau mengawal perkembangan arthritis.  Jenis ubat yang sesuai bergantung kepada keadaan seseorang. Dapatkan nasihat dari doktor atau pakar berkaitan sebelum memulakan pengambilan ubat-ubatan.

Rawatan yang melibatkan pembedahan juga ada pelbagai peringkat. Antaranya ialah

Arthroscopy


1. Arthroscopy – proses di mana potongan kecil dibuat untuk memasukkan alatan halus yang panjang ke bahagian dalam lutut.  Alat tersebut boleh digunakan untuk melihat bahagian dalam lutut serta melakukan prosedur ringkas.

2. Graf tulang rawan – tisu rawan yang sihat dari lutut kaki sebelah atau bahagian lain boleh digunakan untuk mengisi ruang rawan yang rosak



3. Arthroplasty - menggantikan bahagian rawan atau tulang yang rosak dengan gantian yang diperbuat dari logam atau plastic bagi membolehkan pergerakan lutut berlaku dengan baik tanpa kesakitan.
  

Setiap jenis pembedahan akan mengambil masa untuk sembuh dan perlu disertakan dengan fisioterapi bagi mengembalikan fleksibiliti dan kekuatan lutut.


Berbincanglah dengan doktor dan pakar untuk mengenalpasti masalah serta rawatan sakit lutut yang bersesuaian untuk anda.

BOLEHKAH SAKIT LUTUT PULIH SEPENUHNYA? Bahagian 2 - Kecederaan pada Ligamen




Seperti yang pernah dinyatakan dalam penulisan sebelum ini, kecederaan ligamen adalah antara faktor utama yang menyebabkan sakit lutut.

Pernah tengok ligamen? Jika belum, sila lihat contoh dalam gambar model struktur lutut yang disertakan, Ligamen ialah sekumpulan tisu berfiber yang lembut, kenyal dan kuat. Bahan asas ligamen dibina oleh kumpulan rantaian kolagen. Ia berfungsi menghubungkan tulang dan menstabilkan pergerakan sendi tersebut.   

Terdapat empat jenis ligament pada bahagian lutut yang mudah tercedera:


1. Anterior Cruciate Ligament (ACL) menghubungkan tulang paha (femur) ke tulang betis (tibia).  ACL adalah ligamen yang paling kerap tercedera.

2. Posterior Cruciate Ligament (PCL) juga menghubungkan tulang paha ke tulang betis.  PCL jarang mengalami kecederaan kecuali di dalam kes-kes kemalangan kereta.

3. Lateral Collateral Ligament (LCL) menghubungkan tulang paha ke tulang betis yang lebih kecil (fibula) terletak di bahagian tepi luar lutut.

4. Medial Collateral Ligament (MCL) menghubungkan tulang paha ke tulang betis di bahagian tepi dalam lutut


Bagaimana ligamen boleh tercedera?


Antara penyebab utama kecederaan ligamen adalah perubahan arah pergerakan dengan pantas seperti pergerakan semasa bermain bola atau futsal, mendarat dengan cara yang salah selepas melompat serta hentakan alatan tumpul secara langsung pada lutut seperti kena ‘tackle’ dalam permainan rugby.

Otot kaki yang yang tidak kuat serta atur pergerakan kaki yang tidak betul turut meningkatkan kebarangkalian berlaku kecederaan pada ligamen lutut.  

Bagaimana rasanya sakit lutut akibat kecederaan ligamen?
Anda mungkin akan merasai perkara-perkara di bawah ini.

1. Kesakitan di bahagian lutut, biasanya secara tiba-tiba dan amat kuat
2. Kedengaran bunyi “Pop” atau seakan rentapan yang kuat
3. Bengkak di dalam 24 jam selepas mengalami kecederaan tersebut
4. Terasa lutut longgar
5. Tidak boleh berdiri atau meletakkan sebarang bebanan ke atas lutut tanpa merasa sakit,




Kecederaan pada ligamen dikategorikan pada beberapa peringkat:


Tahap 1 – ligamen mengalami regangan atau tertarik lebih dari sepatutnya. Tiada luka atau koyakkan pada ligamen.  

Tahap 2 – sebahagian dari rantaian ligamen terkoyak.  Bengkak dan lebam mungkin berlaku. Rasa sakit yang lebih kuat. Sukar melakukan pergerakan pada lutut.

Tahap 3 – ligamen terputus terus.  Pendarahan dalam mungkin berlaku. Lutut jadi tidak stabil dan tidak dapat menampung berat.  Kebiasaannya tiada kesakitan dirasai kerana saraf yang merasa sakit turut terkoyak atau putus terus.

Untuk lebih mudah difahami, cuba bayangkan tali getah yang biasa digunakan untuk mengikat barang di motorsikal atau basikal atau nama lainnya ‘bungee cord’. Ia diperbuat oleh beberapa jalur getah yang disusun memanjang dan hujungnya dicantumkan.

"Bungee Cord"

Helaian jalur getah halus yang membentuk bungee cord. 


Kecederaan Tahap 1 – tali getah tersebut ditarik terlebih dari yang sepatutnya mengakibatkan kurang keanjalannya.

Kecederaan Tahap 2 – beberapa helai jalur getah di dalam tali tersebut putus. Masih boleh digunakan tetapi tali getah tersebut sudah tidak kuat.

Kecederaan Tahap 3 – semua jalur getah di dalam tali tersebut telah putus dan tali getah tersebut tidak dapat digunakan lagi.

OK, dah boleh nampak kan?

Mujurlah ligamen tidak dibuat dari tali getah.  Ia masih boleh pulih jika menerima rawatan yang betul. 

Bagi kecederaan Tahap 1 dan 2, rehat, penggunaan ais serta ubat anti-keradangan biasanya memadai.  Penggunaan alat sokongan lutut (brace) dan taping (pita perekat) sesuai digunakan bagi mengelakkan regangan berlebihan pada ligament semasa tempoh pemulihan.

Fisioterapi boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan dengan menguatkan otot serta membetulkan arah jaringan fiber ligamen tumbuh semula.  Biasanya dengan rawatan yang betul, kekuatan asal akan diperoleh selepas 6 minggu iaitu setelah fiber kolagen yang membentuk ligamen tersebut matang.

Penggunaan "brace" pada lutut yang sedang menjalani fisioterapi.


Manakala untuk kecederaan pada Tahap 3, menjadi satu keperluan untuk menggunakan alat sokongan yang dapat menampung berat supaya ligamen tersebut bebas dari menampung berat dan mendapat ruang untuk mengalami pemulihan.  Fisioterapi perlu dilakukan bagi menggalakkan pemulihan yang betul. 

Bergantung pada keperluan, biasanya yang melibatkan ACL dan PCL putus terus, pembedahan pembentukan semula ligamen boleh dilakukan. Tempoh pemulihan biasanya mengambil masa 3-4 bulan sebelum aktiviti biasa dapat dilakukan semula.

Harus diingat, fisioterapi adalah amat penting dalam proses pemulihan ligamen kerana ia dapat menggalakkan pertumbuhan tisu fiber yang membentuk ligamen dengan cara betul. Jika dibiarkan sahaja, proses tersebut boleh mengambil masa bertahun-tahun atau pemulihan yang tidak betul boleh berlaku, dan akan menyukarkan pergerakan atau mendatangkan rasa sakit di masa hadapan.

Jik anda mengalami masalah sakit lutut seperti yang diterangkan di atas, jangan berlengah untuk mendapatkan pandangan doktor atau pakar. Kenal pasti punca dari awal, ia dapat mengelakkan kecederaan yang lebih teruk serta kos rawatan yang lebih tinggi.